Thursday 7 June 2018

THE RULER

Aku pernah menterjemah karya 'The Prince' di bawah tajuk 'Sang Penguasa' yang diterbitkan oleh Thukul Cetak.

Dalam karya tersebut secara dasarnya, terdapat empat jenis topik yang dibincangkan oleh Machiavelli. Bahagian pertama, Machiavelli membincangkan jenis-jenis kerajaan yang pernah terbentuk sejak dari zaman purba sehinggalah ke zamannya.

Kemudian, Machiavelli bincang macam mana nak dapatkan kuasa berdasarkan jenis-jenis kerajaan ini. Kemudian, Machiavelli bincang pelbagai jenis tentera dan menteri yang patut disimpan dan yang patut dibunu. Akhir sekali, Machiavelli bincang bagaimana
seharusnya penguasa memerintah.

Aku nak kongsikan bahagian yang akhir sekali. Ada beberapa ciri ataupun 'golden rule' yang patut diikuti oleh pemimpin supaya dapat memelihara kuasa dan
negaranya menurut kaca mata Machiavelli.

1. Machiavelli tak tetapkan kompas moral dan etika dalam diri pemimpin. Bagi Machiavelli pemimpin yang baik adalah pemimpin yang tak menjadikan moral sebagai kompas.

Moral dapat hadkan penguasa untuk berintdak. Ini bukan bermaksud penguasanya menjadi tak bermoral. Penguasa harus menjadi orang yang 'amoral' (tak ada kompas moral) bukannya 'immoral' (tidak bermoral).

Kadangkala, menjadi penguasa tak bermoral pun boleh menjadi punca kejatuhan penguasa. Menjadi 'amoral' mampu membuatkan penguasa lebih lentur dan fleksibel.

2.Machiavelli mencadangkan supaya pemimpin ini menjadi realistik. Memimpin seperti mana realitinya berlaku bukan memimpin seperti sepatutnya dia pimpin. Kalau ikut 'sepatutnya', pemimpin akan mudah dijatuhkan.

Penguasa Machiavellian bertindak fleksibel mengikut keadaan. Mereka tak bertindak mengikut saranan kuasa tertinggi seperti Tuhan.

Kalau menipu dapat menyelamatkan keadaan, Machiavellian akan menipu walaupun Tuhan melarang manusia menipu.

3. Penguasa yang baik adalah penguasa yang belajar untuk tidak menjadi baik. Machiavelli sedar rakyat cintakan penguasa yang jujur, amanah, telus dan tak menipu.

Tetapi Machiavelli juga sedar, penguasa begini tak mampu bertahan lama.

Manifesto-manifesto adalah salah satu bentuk gula-gula penipuan untuk meraih penyokong. Kadang ada bentuk-bentuk manifesto yang tak realistik.

Politik ini macam pemasaran. Kalau kita nak barang kita laku, kita kena jual model perempuan dan jual agama. Nak jual produk, kena ada model perempuan yang seksi untuk promosi.

Kalau nak jual makanan kena letak perkataan 'sunnah'. Nak jual baju kena letak perkataan 'sale'.

Benda ini semua memang tak baik dan tak patut diikuti. Tapi itulah realiti dan lumrahnya kalau nak laku. Kalau ikut 'patut', memang tak terjual. Politik pun begitu. Tak hairan pun sebenarnya bila ada orang jual agama untuk meraih
penyokong.

Untuk mendapat penyokong, ahli politik kena bina persepsi. Persepsi untuk optimumkan antara keamanan negara dan kawalan ke atas rakyat. Walaupun nampak jahat, tapi itulah realitinya untuk berkuasa.

4. Machiavelli juga cakap, kalau penguasa dah terjebak dalam pelbagai kejahatan, jangan bagi rakyat nampak kita ini asyik buat jahat saja.

Terus berlakon dan pura-pura baik. Purapuralah turun padang, kasi orang miskin makan, berbasikal. Ini semua adalah persepsi supaya sokongan rakyat berada pada tahap optimum.

Benda ini tak pelik. Kawan kita yang buat jahat banyak kali pun, bila tiba-tiba dia pergi haji, kejahatannya semua kita dah lupa. Orang alim buat baik hari-hari, buat jahat sekali terus dikecam.

Konsep yang sama diaplikasikan ke atas penguasa.

5. Setiap penguasa yang hebat, ada kerja jahat yang mereka buat untuk memastikan musuh-musuh mereka dihancurkan selumut-lumutnya.

DS Anwar pernah dipenjarakan oleh Dr. Mahathir. Walsingham pernah membunuh musuh yang cuba mengganggu kuasa Ratu Elizabeth. Julius Caesar pernah menggulingkan konsulnya sendiri untuk memerintah seorang diri.

Bagi Machiavelli, berlaku kejam tak apa. Tetapi ada tahapnya. Kalau selalu buat kejam, rakyat akan benci. Tetapi kekejaman itu perlu untuk memelihara kuasa. Ia perlu optimum dan fleksibel.

Khalifah pertama Abbasiyyah membunuh seluruh keluarga Umayyah tetapi berlaku baik terhadap rakyatnya sampai digelar sebagai 'Penumpah Darah (Blood Shedder)'. Tetapi rakyat tak memberontak ke atasnya.

6. Setiap negara yang baik akan ada kerja kotor (dark) yang dibuat. Menurut Machiavelli, kalau pemimpin terpaksa buat kerja kotor memastikan kuasanya dan negaranya terjamin, biarkan orang lain yang buat kerja kotor tersebut.

Pemimpin patut arahkan orang lain supaya kerja kotor itu diselesaikan tanpa penglibatan pemimpin secara langsung. Kerja kotor ini lama-lama akan diketahui oleh rakyat.

Kalau rakyat tahu pemimpin yang buat kerja kotor ini, pemimpin boleh gunakan orang yang dia arahkan tadi sebagai kambing hitam.

Rakyat akan lihat pemimpin ini adil kerana sanggup menghukum pembesarnya sendiri sedangkan arahan kerja kotor itu datang secara langsung daripada pemimpin sendiri.

7. Machiavelli cakap pemimpin sepatutnya jadi seorang yang ditakuti dan dicintai. Tapi kalau tak boleh dapat dua-dua, lebih baik ditakuti daripada dicintai.

Dicintai oleh rakyat memang perkara yang seronok. Tapi bagi Machiavelli ia membuatkan pemimpin lebih mudah dipergunakan dan rakyat akan mempunyai kecenderungan untuk minta benda yang bukan-bukan.

Pemimpin juga akan mudah dipijak oleh orang bawahannya. Hal ini berbeza apabila pemimpin ditakuti. Rakyat akan lebih realistik dan menghormati pemimpinnya.

6 Pemimpin pada gambar di bawah ini adalah antara penguasa Machiavellian.

Hasil tulisan Zamir Mohyedin



No comments:

Post a Comment