Friday 8 June 2018

Gerakan Kesatuan Melayu Melahirkan PEKEMBAR(UMNO)


Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu muncul pada awal abad ke-20 dimulai dengan golongan intelek, agama berpendidikan timur tengah yang dikenali sebagai Kaum Muda pada tahun 1906. Antara tahun 1926 hingga 1937, gerakan nasionalisme semakin berkembang dengan penubuhan persatuan dan kelab Melayu yang dipimpin oleh golongan intelek Melayu berpendidikan Melayu dan Inggeris. Perjuangan melalui persatuan dan kelab ini lebih teratur dan menarik sokongan rakyat. Dalam jangka pendek kegiatan berpersatuan lebih bercorak budaya , agama, dan sosial. Manakala dalam jangka panjang lebih bersifat politik.

Selepas tamat perang Dunia Pertama, British meneruskan kuasa penjajahan dengan mengekang dan menindas kebanyakan masyarakat melayu ketika itu. Di bawah rancangan British, dasar pro Melayu sebelum Perang akan dirombak sekaligus, dan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa bersaing dengan orang-orang mendatang, iaitu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi di samping jaminan bahawa ini adalah negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja-Raja Melayu. Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan. Jika sebelum ini orangorang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan itu. Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara.

Apabila cara pemerintahan baru di Semenanjung Tanah Melayu diumumkan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945, maka orang-orang Melayu dari Perlis ke Singapura, melalui persatuan masing-masing, berkumpul dan bersuara membantah penubuhan Malayan Union. Himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing. Dato' Onn bin Jaafar dari Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak. Tiga usul telah diluluskan oleh Kongres seperti berikut:

1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
2. Membantah pertubuhan Malayan Union
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu

Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato' Onn Jaafar, Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Dato' Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.

Pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama

Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) telah berlangsung dan Piagam atau Perlembagaan (UMNO) telah diterima dan diluluskan oleh para peserta dan UMNO pun lahirlah secara rasmi.

Perjuangan UMNO yang pertama adalah membangkang penubuhan Malayan Union. Melalui akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu dan Majlis, suara orang Melayu menentang Malayan Union dapat diketahui. Pemimpin UMNO berjaya menasihatkan Sultan-sultan melayu supaya tidak menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union yang pertama, Edward Gent, dan secara simbolik memanifestasikan kemarahan dan bangkangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union.

Dua bulan selepas wujudnya Malayan Union, Kerajaan British telah mengubah pendirian dan bersedia mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil UMNO dan Sultan-sultan bagi mewujudkan satu kerajaan persekutuan baru. Rundingan ini berlangsung hingga 21 Januari 1948 apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh Raja-raja Melayu dengan wakil kerajaan British yang mengembalikan semula kuasa-kuasa dan kedaulatan Sultan-sultan. Secara rasmi Persekutuan Tanah Melayu dilahirkan pada 1 Februari 1948.

Kerajaan Persekutuan Tanah Malayu ditadbir oleh Pesuruhjaya Tinggi dandibantu oleh beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan termasuk Yang Di Pertua UMNO, Dato Onn bin Jaafar yang telah diberi tanggung-jawab sebagai Ahli (Member) Hal Ehwal Dalam Negeri. Semasa memegang jawatan itu, Dato Onn telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau Rural and Industrial Development Authority (RIDA) yang bertujuan membantu orang-orang Melayu mencebur dalam bidang perusahaan. Pemerintahan di peringkat Negeri pula adalah di bawah kuasa Menteri Besar dibantu oleh Penasihat British.

Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah
dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.

Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan penduduk asal kepada kawasan ini. Seluruh penentuan hidup di negara ini
sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.


No comments:

Post a Comment