Saturday 9 June 2018

RAJA-RAJA MELAYU ADA DIPERLAMBANGKAN DALAM FALSAFAH KERIS


Sebagaimana seorang Melayu seharusnya tahu yang Keris selain berfungsi sebagai senjata, ia juga adalah perlambangan kuasa yang menjadi ganti diri Raja-raja Melayu.

Dr. Tenas Effendy dipetik melalui kajiannya ada menulis tentang fungsi lain keris, ditulis di dalam buku Semangat Keris Melayu oleh Emil Bahan;

"Keris menjadi batang tubuh, 
Boleh berwakil boleh disuruh,
Boleh mengganti boleh berjanji, Boleh berupa boleh menyerupa,
Boleh sekejap sekejap atau sementara,
Boleh berlambat atau berlama. ”

Sememangnya Keris ada menghimpunkan banyak falsafah bagi menggambarkan kehormatan seorang Raja Melayu yang bersemayam di atas takhta.

Keris tidak perlu ditayang-tayang bilah dan rupanya kerana melalui sarungnya sahaja, sudah tahu panjang dan diagak rupa bilah atau loknya.

Melihat ukiran maksud pada hulu, dokok, sampir, batang serunai, buntut pada sarung, kehalusan dan jenis kayunya pun sudah menggambarkan peribadi, susuktubuh dan perlambangan bilah keris di dalamnya secara tidak langsung.

Ia sama seperti tindakan, kelakuan, kegemaran, gaya riak wajah serta bahasa tubuh baginda sekalipun sudah cukup menggambarkan akan personaliti, karisma dan kewibawaan baginda selaku ketua dan pemimpin negara.

Gaya baginda menunjukkan keikhlasan dan zuhud beliau selaku raja yang benar-benar layak di tempatnya tanpa perlu bertitah tentang kuasa yang dimiliki atau apa yang baginda perkenan atau tidak sudi mencemar duli untuk apa-apa pun atas kehendaknya.

Keris yang dihunus akan kemudiannya mempamerkan pamor, kualiti tempaan dan perapian penjagaannya. Tajam, bisa ancaman yang dibawa oleh Keris menggambarkan kuasa sebenar Raja-raja Melayu dan seringkali apabila Keris diacung keluar dari sarung;

Pantang keris hunus separuh, 
Tanda kerja separuh jalan,
Pantang keris hunus penuh,
Jika darah bukan taruhan.

Jelas, kesucian titah dan perkenan baginda hanya disuarakan apabila benar-benar perlu dan betul-betul tepat pada masanya.

Ganti diri Keris sebagai perlambangan Raja-raja Melayu ini dalam maknanya, maka kerana itu keris wujud sebagai
sebahagian dari alat kebesaran Raja-raja Melayu.

Jadi, awas bila hamba rakyat sesuka hati mencanang seluruh negeri yang Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan institusi Raja-raja Melayu akan dipinta akur untuk tunduk pada kemahuan hambanya, tidak kira atas kemahuan dan sebab apa pun.

Kerana jika Keris milik baginda akan diacung dan dihantar tanpa bersarung sebagai tanda murka jika dijadikan bahan suka-suka tanpa perkenan baginda dan redha-Nya.

"Keris itu jika hulunya Raja, maka
bilahnya adalah rakyat dan sarungnya pula adalah negara".

Keris pesaka duduk diam,
Jangan disangka tidak tajam,
Habis belaka kaduk disiram, Jangan disangka hendak dipendam.

Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.

No comments:

Post a Comment